TUHAN memberi 3 hari,Kemarin yg berlalu,Sekarang yang berlaku,Esok yg kita tidak tahu

3 perkara pilih hat mana???

Tuesday

Surah Al-Ikhlas( سورة الإخلاص)


Surah Al-Ikhlas merupakan antara surah yang penting didalam Al-Quran. Surah Makiyyah ini berkisar tentang tauhid dan aqidatussalimah yang menjadi pancang utama sahabat terawal iaitu golongan assabiqunal awwalin. Secara umum, ayat makiyyah memfokuskan kepada elemen taabudiyyah dan kepercayaan,disulami unsur tarhib wa taghrib dimana belum lagi diperkenalkan hukum dan kewajipan peribadatan. Didalam beberapa riwayat disebut bahawa asbabunnuzul ayat ini adalah disebabkan oleh pertanyaan kaum musyrik kepada RasulAllah saw ” Shiff lana rabbaka” (Jelaskan pada kami Tuhanmu,dari emas kah atau tembaga atau loyang?). Menurut hadis yang diriwayatkan oleh AtTarmizi , ada orang musyrik yang meminta Nabi menguraikan tentang nasab Allah,maka turunlah surah ini secara tegas tentang Allah SWT.
SURAH AL-IKHLAS, SURAH TAUHID
Ayat 1 Surah al-Ikhlas ;
” Katakanlah Dia adalah Allah, Maha Esa’ (1)
Ayat 1 merupakan menunjukkan pokok pangkal akidah, puncak dari kepercayaan, dan PengEsaan yang mutlak kepada Allah. Pengakuan atas ke-SatuanNya, keEsaanNya dan ketunggalanNya itulah dinamakan dengan TAUHID. Tauhid seperti yang dihuraikan oleh ulama’ khalaf terbahagi tiga iaitu :

• Tauhid uluhiyyah – meyakini bahawa Allah adalah tuhan yang selayaknya disembah
dan menyatakan keterikatan pada Ilahiyyah melalui taabudiyyah kepada Allah.
• Tauhid rububiyyah – meyakini bahawa Allah tuhan yang menjadikan, mengawal, mengatur,dan mentadbir alam ini.
• Tauhid asma’ wa sifat – meyakini bahawa nama-nama dan sifat-sifat Allah adalah mulia dan Allah ada 99 nama yang mulia, dan 20 sifat yang mulia.
 
Asas aqidah inilah yang diamalikan oleh sahabat terawal RasulAllah saw seperti Bilal Bin Rabah AlHabsyi, Sumayyah dan turut disebut dalam Al-Quran melalui kisah Ashabul Ukhdud,ashabul yasin,Kisah masyitah. Keyakinan yang jitu meneguhkan hati dan jasad mereka untuk mengatakan ” Allahuahad” walaupun dibentangkan dengan seksaan dan tekanan yang mungkin tidak dapat ditahan oleh golongan mulhid atau kafirun.
Ayat 2 surah al-ikhlas bermaksud :
”Allah itu tempat pergantungan” (2)
Ayat ini memberi makna segala sesuatu itu Dia yang mencipta,sebab itulah maka segala sesuatu itu kepadaNya lah kita bergantung. Abu Hurairah mengatakan ,maksud ”as-shamadu” ialah segala sesuatu memerlukan dan berkehendak kepada Allah,berlindung kepadaNya,sedangkan Dia tidak berlindung pada sesiapapun.
Abussuud dalam tafsirnya berkata ” Diulangi nama Allah sehingga dua kali (ayat 1 dan 2), dengan kejelasan bahawa Dia adalah Esa dan Tunggal,Dia adalah penggantungan semua makhluk,supaya jelaslah bahawa sesuatu yang tidak mempunyai dua sifat utama itu bukanlah Tuhan. Ayat pertama menegaskan tentang keEsaanNya,untuk menjelaskan bebasnya Allah dari berbilang dan bersusun.Di ayat kedua penegasan tentang Dialah tempat bergantung,jelaslah bahawa padaNya terkumpul segala sifat kesempurnaan. Didalam kitab Perisai Bagi sekalian Mukallaf ,Sheikh Abdul Qadir Al-Mandili menyebut berkenaan keEsaan Allah : ”Berkata kami kepada mengEsakan Allah taala pada ketika mengi’tiqadkan dengan petunjuk Allah Taala,bahawasanya Allah itu tunggal tiada yang bersekutu baginya”

KONSEP ILAH DAN RABB
Dalam memahami tauhid, perkataan ilah dan rabb yang mempunyai definisi yang berbeza mempunyai signifikannya yang rapat dengan tauhid dan aqidah. Ayat 1 dan ke 2 jelas menunjukkan keperluan kebergantungan manusia pada satu kuasa yang Maha Hebat,Maha Boss iaitu Allah. Ianya boleh dikaitkan juga dengan sifat kebersamaan yang digalakkan oleh Allah melalui pembacaan Bismillah, sebagai tanda kebersamaan pada hurufnya ”ba”. Secara tidak ianya menepati konsep Ilah seperti yang disebut oleh Abu Urwah dalam kitabnya ”Konsep-konsep Umum islam” iaitu tuntutan Ilah ada lima iaitu :
• Ilah sebagai tumpuan atau matlamat pengabdian
• Ilah sebagai tumpuan kecintaan
• Ilah sebagai sumber perundangan
• Ilah sebagai pemberi rezeki
• Ilah sebagai tempat perlidungan
MOTIVASI INTRINSIK DAN EKSTRINSIK
Dalam ilmu physologi dan motivasi, manusia mampu untuk mempunyai dua motivasi iaitu motivasi intrinsik dan motivasi ekstrinsik. Menurut psikologis, motivasi ekstrinsik adalah motivasi yang diperolehi melalui unsur-unsur luaran sebagai pengiktirafan,dan ganjaran.Ianya mampu membawa kejayaan tetapi bersifat sementara,dan akan mudah kecewa tanpa ada ganjaran.
Sementara, motivasi intrinsik membawa maksud apabila seseorang digerakkan oleh motivasi dan perkara dalaman seperti matlamat (goal), keghairahan (passion) dan misi. Ia akan memastikan mereka tidak mudah thenti dan akan mengekalkan usaha yang telah dilakukan. Begitu juga konsepnya dengan aqidah tauhid. Sirah menunjukkan sahabat2 awal RasulAllah saw mempunyai motivasi intrinsik yang tinggi, kejituan dan keteguhan mereka tidak terungkai dengan tekanan dan ancaman duniawi. Bilal alHabsyi sanggup membiarkan dadanya ditindih batu sedang lisannya tegar menyebut ’Ahad’,inilah motivasi dalaman yang datangnya dari aqidatusalimah dan tauhid yang thabat. Kerana matlamatnya dan misinya kerana Allah lah yang memberikan ’internal force’ kepada jasad Bilal Bin Rabah untuk menempelak segala misi dan taktik kotor Umayah bin khalaf yang ingin mengembalikannya kepada jahiliyyah. Inilah internal strength yang hakiki bagi sekelian orang mukmin.
Ayat 3 Surah Al-ikhlas berbunyi :
” Dia tidak beranak dan tidak diperanakkan”
Mustahil bagi Allah Dia beranak dan diperanakkan, kerana sesuatu makhluq bernyawa yang beranak menginginkan penyambungan keturunan yang berterusan.Jika seseorang itu tiada anak,maka keturunannya akan terputus.Allah SWT langsung tidak berkehendak pada keturunan kerana Dialah yang membuat keturunan makhluk.
Ayat 4 Surah Al-Ikhlas bermaksud :
” Dan Tiada setara denganNya, seorang pun ”
Sememangnya Allah itu tiada yang boleh melebihiNya, kerana Zat dan KekuasaanNya melangkaui batasan fikiran manusia.Tuhan itu mutlaq kuasanya,tidak terbahagi,tiada gandingan dan bandingan. Keyakinan tentang sifat kekuasaaan dan nama yang mulia diterjemahkan melalui tauhid asma’ wa sifat. Penegasan ini juga disebut dalam Surah Assyura ayat 11 : Tiada ada seperti zat Allah segala zat,dan tiada ada seperti sifatNya segala sifat. Ianya ditulis dalam kitab ” Perisai bagi sekelian mukallaf” karangan Syeikh Abdul Qadir AlMandili. Sememangnya hanya Allah yang sebenarnya Hidup kerana makhluk tidak memberi bekas.Secara syariatnya manusia ada,tetapi secara hakikatnya manusia itu tiada.
MARTABAT SURAH AL-IKHLAS
Imam Ghazali menyebut dalam kitabnya ”Jawahirul Quran” : Kepentingan Al-Quran itu adalah pada 3 dasar utama iaitu makrifat kepada ALLAH SWT, makrifat pada hari akhirat dan makrifat pada siratulMustaqim.Maka Al-Ikhlas mengandungi satu dari makrifat tersebut iaitu makrifatullah, dengan membersihkanNya,mensucikan fikiran terhadapNya dengan mentauhidkanNya.
Didalam kitab ”Faridatul Faraid” karangan Syeikh Ahmad Al-Fathani (anak murid Syeikh daud al-Fathani” menyebut tentang fadhilat Surah Al-ikhlas bagi orang yang hampir meninggal dunia. Beliau menukilkan ” Dan setengah dari azab qubur itu bahawa mengapit oleh 2 lubang qubur hingga berselisih segala tulang rusuknya dan tiada lepas daripadanya melainkan orang yang diistisna’kan seperti orang yang membaca surah al-Ikhlas dalam sakit matinya”

AQIDAH DAN PENGORBANAN
Jika di imbas kisah Nabi SAW dan para sahabat r.a dapat difahami betapa peneguhan i’tiqad itu memerlukan pengorbanan (tadhiyah) yang tinggi.Lihat sahaja kisah Bilal Bin Rabah Al-Habsyi yg diseksa semata-mata tegar menyebut kalimah ’Ahad”, disana kita melihat ianya satu pengorbanan kecil pada mata Bilal untuk mendapat kenikmatan sejati di dalam Islam.Begitu juga kisah Ashabul Ukhdud,Ashabul Kahfi dan sebagainya.Jelas,bahawa mempertahankan aqidah memerlukan pengorbanan yang hebat,dan mentaliti yang tajarrud dan pegangan yang thabat. Menurut Assyahid Hasan Al-Bana ketika mendefinisikan maksud pengorbanan,beliau menyatakan pengorbanan itu ialah berkorban jiwa,harta,masa, kehidupan dan segalanya untuk mencapai matlamat.Tiada jihad didunia ini tanpa pengorbanan dan tidak akan lenyap pengorbanan demi memperjuangkan fikrah islamiyyah.
Maka kerana memahami matlamat akhir kehidupan,kita perlu sanggup untuk berkorban mempertahankan aqidah.Dewasa kini pelbagai gerakan yang timbul untuk menafikan hak istimewa Islam dan memperlekehkan Islam yang harus diperangi secara kolektif dan bersama.
AQIDAH SEBAGAI PANCANG HIDUP
Didalam kitab ’Faridatul Faraid’ dinyatakan bahawa tanda agama itu ada empat :
a) Sah i’tiqadnya
b) Benar qasadnya
c) Mengerjakan segala yang disuruh
d) Meninggalkan segala yang dilarang
Maka, tanda beragama yang utama adalah aqidah sahihah. Dan surah ini menukilkan bicara bab aqidah dengan jelas disamping dikuatkan dengan surah al-kafiruun yang menjadi bara’ antara Islam dan kufur.
Ibnu Qayyim Jauziyyah menyebut ”Menegakkan aqidah ialah dengan ilmu. Persediaan ilmu hendaklah ada sebelum beramal. Sebab ilmu itu imam, penunjuk jalan,dan hakim yang memberi keputusan dimana tempatnya dan telah sampai dimana”. Surah Al-Ikhlas mengikut Ibnu Qayyim adalah punca ilmu tentang aqidah. Inilah menyebabkan Rasulullah saw mengatakan Surah Al-ikhlas sebagai sepertiga dari al-Quran.
Secara umumnya kita maklum bahawa Surah ini diantara surah yang penting dalam Al-Quran yang membicarakan perihal aqidah. Bahkan Rasulullah saw pernah mengatakan bahawa tujuh petala langit dan bumi diasaskan diatas Qul Huwallahu ahad seperti diriwayatkan oleh Ubay bin Anas.Betapa besarnya nilai surah ini. Malahan dalam satu lagi hadis riwayat at-tirmizi dari Abu Hurairah menyatakan seseorang yang membaca Al-Ikhlas wajib baginya masuk syurga. Namun, apa yang penting adalah intipati yang perlu difahami dalam bicara aqidah. Sebagai umat Islam, kini yang dicabar kedaulatan Islam, maka kita seharusnya bangkit dari kelekaan untuk terus mengukuhkan dan menjaga pancang jiwa kita dalam Islam iaitu AQIDAH ISLAMIYYAH. 
Saya menyeru diri saya dan semua para sahabat yang dimuliakan samalah kita terus beramal serta merperteguhkan keimanan kepada Allah SWT.. WAllahu A’lamu bissowab . marilah kita sama-sama..berselawat kepada junjungsn besar Nabi kita MUHAMMAD (SAW)serta fidyahkan Al-Fatihah kepada RasulALLAH(SAW),kedua ibubapa kita,guru2 yang bersanad hingga ke RasulALLAH(SAW)..serta semua muslimin muslimat.
Rujukan 
Tafsir Al-Azhar Juz 30 ( Prof Hamka Amrullah)